Sunday, September 13, 2009

Petronas Primax 95 Menepati Cita Rasa Pemandu Kenderaan

Petronas menjalankan pelbagai ujian terhadap petrol baru ini untuk memastikan yang Primax 95 bukan sahaja menawarkan penjimatan bahan api tetapi juga baik untuk prestasi dan kuasa enjin.

Primax 95 merupakan bahan api baru milik Petronas dengan penarafan RON 95, yang menggantikan RON 92 berkuatkuasa 1 Sept dan boleh didapati di lebih 900 stesen Petronas di seluruh negara.

RON merupakan singkatan bagi Research Octane Number (Nombor Penyelidikan Oktana), yang merupakan ukuran bagi ciri-ciri pembakaran bahan api. Bahan api yang digunakan oleh mana-mana kenderaan perlu memenuhi keperluan minimum RON untuk memastikan prestasi enjin yang optimum.

Selain daripada memberikan jarak perjalanan lebih jauh, bahan api ini ditambah dengan `Friction Modifier' dan `Combustion Improver' untuk menambah baik prestasi dan kuasa enjin, kata Pengurus Besar Kanan Petronas Dagangan Bhd bagi Perniagaan Runcit Mohd Fazlan Abdul Samad.

Petronas Dagangan Bhd merupakan badan runcit domestik Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

DIUJI DAN TERBUKTI

Primax 95 juga mengandungi bahan pencuci Sinar G-07, yang mencegah endapan di dalam enjin dan memastikan enjin tahan lebih lama sementara mengekalkan prestasi yang hebat.

Ia meningkatkan kecekapan dengan mengurangkan kehilangan kuasa akibat geseran antara dinding kebuk pembakaran dan gelang omboh.

Kemampuan petrol ini terbukti setelah diuji bagi jarak lebih daripada 80,000 km di lebuh raya, dan juga mengikut keadaan pemanduan di bandar dan pinggir bandar. Ia telah menjalani ujian enjin selama lebih 600 jam bagi menguji ketahanan, kebersihan enjin dan operasi aci sesondol injap.

Dibangunkan untuk menepati standard ketat pengeluaran asap Euro 2M, Primax95 dirumuskan dengan kandungan sulfur yang lebih rendah iaitu sebanyak 500ppm yang mengurangkan lagi pengeluaran asap.

Sementara itu, satu acara dua hari Lawatan Media dan Konvoi Petronas Primax meliputi jarak pergi balik 350km dari Shah Alam ke Melaka telah diadakan untuk menunjukkan Primax 95 serasi dengan keperluan kebanyakan jenama kenderaan yang terdapat di Malaysia hari ini seperti BMW, Honda, Peugeot, KIA dan Proton.

LOJI PENAPIS

Konvoi ini juga melawat kompleks penapisan Petronas di Melaka dan mendengar taklimat mengenai Petronas Primax 95 yang disampaikan oleh pakar-pakar teknikal daripada Petronas Research Sdn Bhd.

Kompleks penapisan di kawasan seluas 370.4 hektar itu menempatkan dua loji penapisan Petronas PSR-1 dan PSR-2.

Primax 95 sedia bersaing dengan bahan api RON 95 yang ditawarkan oleh pesaingnya bukan sahaja kerana harganya yang ditetapkan RM1.80 seliter tetapi juga kerana pelbagai manfaat yang ditawarkan oleh bahan api ini.

No comments:

Post a Comment