Sunday, September 13, 2009

tip bersenam

Sebelum bersenam: Mulakan senaman pertama dengan sukan yang ringan supaya ia tidak memudaratkan atau menjadi sekadar hangat-hangat tahi ayam saja. Jangan anggap hanya sukan seperti tenis, jogging, karate atau bola sepak je yang boleh dianggap sebagai senaman.

Ada banyak senaman lain yang lebih ringan dan menyeronokkan serta mampu membakar kalori lebihan. Contohnya seperti bersiar-siar, Yoga dan meregangkan otot (warming up). Ia kelihatan seperti bukan senaman tetapi ia baik untuk permulaan.

Pengawal Stress: Jika kita mengalami tekanan atau terlalu letih dengan kerja-kerja seharian, bersenam sebenarnya adalah pilihan yang paling baik untuk mengembalikan mood kita. Senaman akan berfungsi ibarat pencuci kepada jiwa raga kita. Oleh itu, ada di antara kita yang mengungkapkan senaman itu sebagai suatu ‘olahraga’.

Kepenatan yang kita perolehi hasil daripada bebanan kerja berbeza dengan kepenatan yang diperolehi daripada hasil sukan dan senaman. Letih bekerja memberikan tekanan tetapi penat bersukan memberi keselesaan atau kelegaan.

Bersenam sebelum makan: Elakkan bersenam selepas makan kerana ia membahayakan proses pencernaan. Seeloknya biarlah senaman itu dilakukan sekurang-kurangnya setengah jam selepas makan atau jangan makan terlalu kenyang jika kita ingin bersukan selepas waktu tersebut.

Keselamatan: Sila ambil kira tentang keselamatan diri. Elakkan daripada berjogging dan bersiar-siar pada waktu atau di tempat yang sunyi terutama sekali pada golongan wanita. Keselamatan kita boleh terjejas apabila ada yang selalu memerhatikan amalan rutin kita semasa senaman. Ambil kira juga tentang sukan yang terlalu lasak sehingga boleh menjejaskan keselamatan diri. Jaga sendi dan otot-otot kita kerana tubuh kita masih diperlukan untuk jangka masa yang lebih lama. Sayangi tubuh badan sendiri.

Jangan malu: Perlukah kita merasa malu kerana tidak biasa dengan sesuatu jenis sukan? Perlukah kita malu kerana memiliki berat badan yang lebih untuk bersenam atau bersukan? Kalau diperhatikan di sekeliling kita atau di mana-mana tempat bersukan dan taman-taman, bukan kita seorang sahaja yang baru bermula untuk bersenam. Masih ramai lagi yang juga sama seperti kita yang baru ingin memulakan displin untuk bersenam.

Tidak semua orang yang bersukan itu telah mahir dalam sukan yang mereka libati. Ada kalanya kebanyakan orang hanya bersukan untuk keseronokan tidak sampai ke peringkat professional seperti para atlit. Marilah kita berfikir positif, tolong jangan perasan, tiada orang yang memerhatikan dan ingin mengejek kita dalam aktiviti senaman. Mereka ada urusan masing-masing. Selamba saja!

Pakaian: Kita tidak perlulah menyediakan pakaian-pakaian sukan yang mahal untuk tujuan senaman. Cuma jangan remehkan mengenai penutupan aurat kerana kita sedang melakukan yang baik, maka hendaklah dilakukan dengan cara yang baik juga.

Pakaian yang tebal seperti sweater juga elok untuk mempercepatkan proses perpeluhan dan pembakaran lemak. Jika kita memiliki bajet yang lebih, eloklah memakai kasut atau pakaian sukan yang elok supaya aktiviti ini akan berterusan dengan penuh komitmen.

Cari kawan: Melakukan aktiviti dengan berteman atau berkumpulan mungkin lebih seronok. Cari seorang kawan atau lebih untuk membina matlamat bersama mencapai berat badan ideal. Pilih satu sukan atau jenis senaman yang menyeronokkan dan jadilah pasangan atau kumpulan yang saling memberi semangat di antara satu sama lain. Ini mungkin dapat mendorong semangat dan motivasi untuk kita mencapai matlamat.

Pernafasan sempurna: Bernafas dengan cara yang betul juga penting dalam senaman. Ia membantu kita untuk lebih menumpukan perhatian kepada senaman dan menjadikan senaman lebih efektif mencapai tujuannya.

Jangan bernafas tercungap-cungap atau bernafas terlalu panjang ke dalam. Tetapi bernafas dengan normal. Tarik dengan sempurna dan buang dengan sempurna dengan rentak seimbang. Jika kita mahir, buang nafas ketika sedang melakukan pergerakan berat dan menarik nafas ketika dalam keadaan santai. Pernafasan yang baik adalah kunci untuk memperkembangkan kemampuan kita dalam sukan atau sesuatu senaman.

Petronas Primax 95 Menepati Cita Rasa Pemandu Kenderaan

Petronas menjalankan pelbagai ujian terhadap petrol baru ini untuk memastikan yang Primax 95 bukan sahaja menawarkan penjimatan bahan api tetapi juga baik untuk prestasi dan kuasa enjin.

Primax 95 merupakan bahan api baru milik Petronas dengan penarafan RON 95, yang menggantikan RON 92 berkuatkuasa 1 Sept dan boleh didapati di lebih 900 stesen Petronas di seluruh negara.

RON merupakan singkatan bagi Research Octane Number (Nombor Penyelidikan Oktana), yang merupakan ukuran bagi ciri-ciri pembakaran bahan api. Bahan api yang digunakan oleh mana-mana kenderaan perlu memenuhi keperluan minimum RON untuk memastikan prestasi enjin yang optimum.

Selain daripada memberikan jarak perjalanan lebih jauh, bahan api ini ditambah dengan `Friction Modifier' dan `Combustion Improver' untuk menambah baik prestasi dan kuasa enjin, kata Pengurus Besar Kanan Petronas Dagangan Bhd bagi Perniagaan Runcit Mohd Fazlan Abdul Samad.

Petronas Dagangan Bhd merupakan badan runcit domestik Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

DIUJI DAN TERBUKTI

Primax 95 juga mengandungi bahan pencuci Sinar G-07, yang mencegah endapan di dalam enjin dan memastikan enjin tahan lebih lama sementara mengekalkan prestasi yang hebat.

Ia meningkatkan kecekapan dengan mengurangkan kehilangan kuasa akibat geseran antara dinding kebuk pembakaran dan gelang omboh.

Kemampuan petrol ini terbukti setelah diuji bagi jarak lebih daripada 80,000 km di lebuh raya, dan juga mengikut keadaan pemanduan di bandar dan pinggir bandar. Ia telah menjalani ujian enjin selama lebih 600 jam bagi menguji ketahanan, kebersihan enjin dan operasi aci sesondol injap.

Dibangunkan untuk menepati standard ketat pengeluaran asap Euro 2M, Primax95 dirumuskan dengan kandungan sulfur yang lebih rendah iaitu sebanyak 500ppm yang mengurangkan lagi pengeluaran asap.

Sementara itu, satu acara dua hari Lawatan Media dan Konvoi Petronas Primax meliputi jarak pergi balik 350km dari Shah Alam ke Melaka telah diadakan untuk menunjukkan Primax 95 serasi dengan keperluan kebanyakan jenama kenderaan yang terdapat di Malaysia hari ini seperti BMW, Honda, Peugeot, KIA dan Proton.

LOJI PENAPIS

Konvoi ini juga melawat kompleks penapisan Petronas di Melaka dan mendengar taklimat mengenai Petronas Primax 95 yang disampaikan oleh pakar-pakar teknikal daripada Petronas Research Sdn Bhd.

Kompleks penapisan di kawasan seluas 370.4 hektar itu menempatkan dua loji penapisan Petronas PSR-1 dan PSR-2.

Primax 95 sedia bersaing dengan bahan api RON 95 yang ditawarkan oleh pesaingnya bukan sahaja kerana harganya yang ditetapkan RM1.80 seliter tetapi juga kerana pelbagai manfaat yang ditawarkan oleh bahan api ini.

Faedah Yo-yo Kepada Otak

TINGKAT MINDA
Ahli Psikologi Klinikal, Datuk Dr Mat Saat Baki menjelaskan bahawa permainan yo-yo bukan sekadar menghayun dan menangkap semula gandar roda yang disambung dengan tali.

"Bermain yo-yo akan menggunakan fungsi kiri dan kanan otak", katanya.

Pada umumnya, maklumat diproses dalam pelbagai cara oleh kiri dan kanan hemisfera otak, yang mana seseorang cenderung untuk memproses maklumat menggunakan bahagian dominan.

"Terdapat empat proses utama otak semasa bermain yo-yo iaitu tumpuan, koordinasi mata-tangan, kreativiti dan ketangkasan manual," katanya.

Sama seperti permainan catur, tumpuan adalah satu proses yang banyak digunakan ketika bermain yo-yo. Apabila seseorang memberi tumpuan kepada yo-yo, bahagian kiri otak yang juga dikaitkan dengan pemikiran rasional menjadi dominan.

Ketika tumpuan diberikan ke atas yo-yo, seseorang pemain boleh bertindak mengikut teknik dengan jayanya hasil daripada tindakan otak di sebelah kiri yang juga memproses mengikut lelurus, urutan dan secara logik.

Pada masa yang sama, bahagian kanan otak yang lebih dikaitkan dengan keterbukaan kepada pengalaman dan gerak hati dalam melakukan sesuatu adalah bertanggungjawab kepada kreativiti.

Dr Baki menyatakan, "bermain yo-yo memerlukan pemain mempelajari kemahiran dan teknik yang baru. Pemain yo-yo diketahui kerap mengubah kepada teknik yang baru. Ini mencerminkan bagaimana otak di bahagian kanan digunakan".

Lagipun, apabila ia dilakukan secara mahir dan terlatih, permainan yo-yo menjadi satu lagi bentuk aktiviti ketangkasan manual atau jasmani, yang termasuk permainan lain seperti 'frisbees' dan 'cup stacking'.

"Kenyataan bahawa permainan yo-yo adalah sejenis sukan perlawanan juga menanam kesedaran kesukanan dan konsisten di kalangan pemain. Permainan yo-yo adalah cara terbaik untuk berseronok terutama kanak-kanak dan pelaburannya pun sedikit. Tetapi adalah penting untuk dinyatakan bahawa perlunya ada kawasan yang diperuntukkan di samping langkah keselamatan apabila bermain".

Beliau berkata bermain yo-yo juga boleh memperbaiki prestasi akademi seseorang, apabila proses belajar dan berfikir itu dipertingkatkan semasa kedua-dua bahagian otak digunakan secara seimbang.

KESUKAAN KANAK-KANAK DAN DEWASA

Seseorang boleh memperkatakan bahawa kelebihan bermain yo-yo terletak kepada bagaimana mudah sekali dan seronok ia dimainkan, walaupun oleh mereka yang cemerkap.

Naib Presiden Kelab Yo-YO Malaysia, Raymond Thian, 25, menyatakan bahawa kepopularan yo-yo semakin meningkat, dan kelab yang berusia lima tahun itu kini mempunyai lebih 200 ahli berdaftar di seluruh negara, dengan 700 anggota internet yang aktif.

Ketika ditemui pada Kejohanan Yo-Yo Malaysia 2009 baru-baru ini anjuran M-Yo, Raymond berkata, "anggota termuda kami berusia empat tahun dan yang tertua ialah 50 tahun. Kami melihat minat yang ditunjukkan oleh kebanyakan mereka di sekolah rendah dan menengah. Bermain yo-yo ialah satu bentuk kemahiran yang boleh dipelajari dan dikuasai oleh sesiapa pun."

Dengan kit permulaan yo-yo profesional yang berharga dari RM20, beliau menekankan bahawa permainan yo-yo adalah sukan yang mampu dan sihat bagi semua.

Bagi mereka yang ingin berbelanja besar bagi alat yo-yo ini, mereka boleh memilih untuk set yo-yo profesional dan perlawanan, dan beberapa jenis yo-yo yang paling mahal pernah dihasilkan diperbuat daripada magnesium, silikon nitrit atau bahan eksotik yang boleh mencapai harga sehingga RM1,000.

Raymond, yang bekerja sebagai pereka grafik juga tidak melepaskan faedah yang diperoleh daripada bermain yo-yo.

"Untuk melakukan teknik daripada yang asas sehingga seperti "walk the dog', 'rock the baby' dan 'sky rocket' memerlukan koordinasi untuk mengawal kelajuan dan daya yo-yo, dan perubahan pergerakan yang malahan menggabungkan unsur akrobatik.

"Kita memerlukan lebih banyak usaha untuk menggalakkan kanak-kanak dan remaja aktif dalam sukan itu, agar ia dihidupkan dan menjadi sukan aliran utama."

SUKAN YANG DIYAKINI

Dilengkapi dengan sarung tangan berwarna putih, kasut merah yang berkilat dan yo-yo biru yang berkilau di tangan, Muhammad Shakeel Mohd Rose, 23, nampak tak tumpah sebagai bintang yo-yo, dan ia sememangnya pun.

Juara kategori Perseorangan A, 'Off-String 4A' dan 'Counter-Weight 5A' pada Kejohanan Yo-Yo Malaysia tahun ini, Shakeel juga menduduki tempat ketiga terbaik di peringkat Asia pada 2006 dan 2008.

Beliau akan mewakili Malaysia sekali lagi pada Kejohanan Yo-Yo Asia Pasifik yang akan berlangsung tahun ini di Singapura, yang mana pemenang berpeluang menyertai kejohanan Yo-Yo Dunia di Orlando, Florida, Amerika Syarikat pada tahun depan.

Beliau adalah pakar dalam teknik 'off-string' (tali tidak diikat secara langsung kepada gandar yo-yo, dilepaskan ke udara dan ditangkap semula dengan tali tersebut) dan 'freehand tricks' (yo-yo digunakan dengan satu 'counterweight' di satu lagi hujung tali dan bukannya dilekatkan kepada jari).

Shakeel, yang berlatih selama empat hingga lima jam sehari untuk beberapa bulan sebelum menguasai rutin kompleks, sering menambat hati para juri dengan teknik 'electronic fan' yang mana tali yo-yo tidak diikat di jari, sebaliknya digerakkan dengan dadu.

"Saya mula bermain yo-yo lapan tahun lepas dan ia benar-benar telah meningkatkan kemahiran teknik, kreativiti dan keseimbangan mental saya. Saya dapati mudah untuk memberi tumpuan terhadap kerja kerana saya bawanya ke pejabat. Ia adalah cara yang berkesan untuk berhadapan dengan tekanan", katanya.

Dengan sentiasa tersenyum lebar setelah berjaya menghayun dan menangkap semula yo-yo, Timothy Kenneth Ming Hui Chong, 8, meletakkan permainan yo-yo sebagai sukan pilihannya bersama-sama bola sepak dan badminton.

"Saya gemar bermain yo-yo kerana ia memerlukan kemahiran. Saya telah bermain sejak empat bulan lepas dan ia melatih agar tangan saya bergerak pantas dan saya dapat mempelajari banyak teknik untuk ditunjukkan kepada rakan."

Dengan teknik yang begitu banyak, pemain yo-yo amatur dan profesional di negara ini tidak akan melepaskan yo-yo kerana mereka berharap lebih ramai akan melihat permainan yo-yo sebagai sejenis sukan yang dinamik - untuk otak dan tenaga.

Saturday, September 12, 2009

Asal-Usul nama Gugusan Pepulau Melayu

Sejak pertengahan abad ke-19M, menerusi George Earl dan Alfred Wallace membicarakan nama yang lebih sesuai untuk kawasan yang didiami oleh “rumpun Melayu” yang ketika itu digelar dengan berbagai-bagai nama oleh bangsa Eropah, sebahagiannya dinyatakan kemudian. Pada 1845 George Earl membentang sebuah makalahnya (kertas kerja) di Royal Geographical Society, UK, dan kemudiannya dijadikan bahan di dalam sebuah risalah berjudul “On the Physical Geography of South-Eastern Asia and Australia” bertarikh 1855 yang merujuk kepada isu ini. Beliau mentakrifkan Gugusan Pepulau Melayu (Malay Archipelago) itu “termasuk Semenanjung Melayu (pada masa itu termasuk selatan Thailand), sehingga jauh sampai Tenasserim dan Pepulau Nikobar di barat, Philippina di utara, dan Pepulau Solomon, melampaui New Guinea di Timur”. Alfred Wallace 1863, “On physical geography of the Malay Archipelego”, dalam J. Royal Geographical Soc. XXXIII: 217-234, merakamkan situasi pada zamannya bahawa nama sebahagian besar rantau Tenggara Asia ini sebagai Gugusan Pepulau Melayu (Kepulauan Melayu) atau The Malay Archipelago telah meluas pemakaiannya, walaupun nama-nama lain masih dipakai oleh pelbagai pihak penulis Eropah, khususnya yang berbahasa Inggeris pada zamannya, seperti Indian Archipelago, Asiatic Archipelago, Eastern Archipelago dan East Indies yang semuanya tidak disenangi oleh beliau kerana tidak tepat, dan mengelirukan di samping tidak cukup luas. Beliau berkata nama-nama itu lebih baik diganti dengan Indo-Australian Archipelago (Gugusan Pepulau Hindia-Australia). Namun ternyata beliau pun tidak memakai syor beliau itu apabila beliau menulis judul bukunya yang kemudiannya menjadi cukup terkenal dan laris itu, terbitan pertamanya 1869 sebagai, “The Malay Archipelago. The Land of Orang-Utan and the Bird of Paradise: A Narrative of Travel, with Studies of Man and Nature” dan diulang sunting puluhan kali dan diulang cetak sedemikian juga hingga ada cetakan 2004 dan 2005 pun; contohnya terbitan Graham Brush, Singapura 2004) (Buku ini disorot oleh Mat Rofa 2006). Tidak syak lagi buku beliau inilah yang memantapkan istilah The Malay Archipelago (Gugusan Pepulau Melayu atau Kepulauan Melayu) itu bagi menggantikan istilah yang lain itu. Wallace mentakrif Gugusan Kepulauan Melayu itu sebagai “rantau Asia Tenggara yang hampir-hampir berbentuk segi tiga” yang “meliputi rantau dari Pepulau Nikobar di barat laut, ke St Christoval sebuah daripada Pepulau Solomon di Tenggara, dan dari Luzon di Utara ke Rotti, dekat Pulau Timor, di Selatan”. Beliau juga mencirikan Gugusan Pepulau Melayu itu sebagai “rantau di antara Asia Tenggara dengan Australia, dan memisah lautan Hindia dengan Lautan Pasifik”.

Saturday, May 2, 2009

Telefon


Telefon

Telefon
berasal daripada (bahasa Yunani: tele = jauh dan phone = suara) adalah alat telekomunikasi yang digunakan bagi memancar dan menerima bunyi (kebiasaanya suara dan percakapan) pada jarak jauh tanpa terikat, secara bebas. Kebanyakan telefon beroperasi melalui pemancaran isyarat eletrik melalui jaringan telefon rumit yang membenarkan sebarang pengguna telefon untuk berhubung dengan hampir kesemua yang lain. Terdapat telefon awam yang mana mengutip sedikit bayaran, menurut tempoh penggunaan, bagi kegunaan orang awam yang tidak memiliki telefon.

Bendera


Bendera Malaysia

Bendera Malaysia adalah berasal dari Bendera Persekutuan Tanah Melayu. Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan rekabentuk Bendera Malaysia yang mengikut rekabentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia.

Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru - Malaysia. Bendera Malaysia telah dikibarkan dengan rasminya di seluruh negara untuk melambangkan lahirnya Malaysia pada 16 September 1963.

Sungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang.

JALUR GEMILANG adalah nama Bendera Malaysia yang telah diisytiharkan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-40 di Dataran Merdeka.

Maksud Komputer



Komputer

Takrif asal "komputer", seperti yang disebut di atas, hanya merangkumi peralatan khusus yang boleh mengira satu fungsi atau berbilang fungsi yang terhad. Sekiranya mengambil kira komputer moden, salah satu ciri yang membezakannya dengan komputer awal ialah: sekiranya dimasukkan dengan perisian-perisian yang sesuai, komputer moden berkemampuan untuk meniru sebarang pengiraan. Namun kemampuan ini dibatasi oleh pemuatan storan, ingatan capaian rawak (RAM) serta kelajuan pemprosesan. Dalam erti kata lain, kemampuan ini boleh digunakan sebagai ujian untuk membezakan komputer "serba-guna" dengan komputer awal yang hanya khusus untuk tugas tertentu. Komputer juga boleh ditakrifkan sebagai satu sistem yang mengendalikan simbol-simbol elektronik dengan pantas dan tepat dan direka khas untuk menerima, memproses, menyimpan dan mengeluarkan hasil keluaran.